Apakah itu universiti? Universiti merupakan ‘Batu Asas Ketamadunan’ di mana segala ilmu pengetahuan tersimpan, dipelajari, diperbahaskan, diperbaikkan dan diamalkan. Mengapa universiti dikatakan ‘Batu Asas Ketamadunan’? Banyak perbahasan telah dilakukan mengenai universiti iaitu tentang fungsi sebenar universiti, peranan yang sepatutnya dimainkan oleh universiti, produk yang dihasilkan oleh universiti dan sumbangan universiti itu sendiri namun mengapa ‘Batu’ nilainya diberikan, tidak lain tidak bukan adalah kerana elemen terpenting universiti itu sendiri iaitu mahasiswa. Di universiti, mahasiswa disediakan pelbagai ilmu dan peluang untuk mereka bersedia membentuk tamadun manusia apabila keluar bergelar graduan nanti. Dalam pembinaan bangunan yang mencakar langit, perkara yang paling diambil kira ialah cerucuk yang ditanam jauh dalam tanah untuk memberikan kestabilan yang utuh kepada bangunan yang dibina dari sebarang faktor yang boleh menjatuhkan bangunan tersebut. Cerucuk ini merupakan batu asas bangunan tersebut. Dalam konteks ketamadunan manusia, mahasiswa adalah batu asas tersebut dan ketamadunan merupakan bangunan. Saya secara peribadi mendefinisikan mahasiswa itu sendiri sebagai satu fasa transformasi dari seorang remaja ke dalam masyarakat. Masyarakat merupakan komuniti terbesar yang membentuk halatuju negara samada akan terus dijulang di mata dunia atau mundur dan jatuh.
Sepanjang fasa transformasi selaku mahasiswa, keadaan yang sihat perlu diwujudkan bagi memastikan kelancaran proses tersebut. Hal ini dijelaskan lagi dengan isu mahasiswa berpolitik. Tidak dinafikan wujud suasana berpolitik di kampus untuk membentuk kepimpinan mahasiswa yang terbaik untuk berkerjasama dengan universiti sederap bersama menghadapi arus pembangunan. Apabila mahasiswa berpolitik, di manakah garis sempadannya? Ramai akan bertanya, kenapa perlu adanya garis panduan? Kenapa tidak bebas? Suara disekat dan sebagainya. Perlu kita ingat bahawa peringkat mahasiswa merupakan fasa transformasi. Mahasiswa seterusnya akan membentuk masyarakat di luar sana dan membentuk pentadbiran masyarakat yang dipanggil KERAJAAN di mana cara, pengurusan, isu-su yang dimainkan sangat jauh berbeza dengan pentadbiran dibentuk di peringkat mahasiswa. Bukannya hendak memperkecilkan suara dan peranan mahasiswa tetapi itu lah kenyataan. Kesilapan yang dilakukan di peringkat mahasiswa tidak lah seberapa berbanding kesilapan yang dilakukan di peringkat Kerajaan yang dipilih di mana hala tuju negara menjadi taruhan.
Jadi, apa kaitannya? Di sini amatlah penting untuk kita membuat garisan pemisah antara politik pemilihan kepimpinan mahasiswa dengan politik luar kampus dalam pemilihan kerajaan. Mengapa? Kerana politik kepimpinan mahasiswa adalah berbentuk PERWAKILAN manakala politik kepimpinan negara yang di luar dari kampus adalah berbentuk PENTADBIRAN NEGARA, PENENTU DASAR NEGARA dan PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG. Apabila garis pemisah tidak dilakukan, politik di peringkat mahasiswa akan dipengaruhi oleh ideologi-ideologi politik luar untuk membina pengaruh di peringkat batu asas iaitu mahasiswa. Unsur-unsur tersebut yang meresapi pemikiran mahasiswa akan mempengaruhi mereka apabila fasa transformasi tamat dan mereka pula akan masuk ke dalam masyarakat dan membentuk kerajaan. Kerajaan yang di pilih oleh mereka bukan lagi kerajaan yang dipilih berdasarkan bentuk terbaik untuk mentadbir negara sebaliknya merupakan kerajaan yang dipilih hasil pertunasan ideologi-ideologi yang ditanam di peringkat mahasiswa.
Oleh itu, dalam memastikan politik mahasiswa tidak dipengaruhi oleh politk luar, maka di situ lah garis sempadan diperlukan. Kebebasan berpolitik yang dituntut oleh mahasiswa untuk menyertai politik luar dilihat sebagai tindakan menetas sebelum masanya. Masa yang ada sebagai mahasiswa sepatutnya digunakan untuk mengkaji dan menilai politik luar dan penilaian tidak semestinya hanya dapat dilakukan dengan menyertai politik luar secara langsung. Tujuan pemisahan dilakukan antara mahasiswa dengan politik luar adalah untuk menyediakan suasana bebas dan sihat sepanjang fasa transformasi sebagai seorang mahasiswa. Pemisahan juga dilakukan untuk mahasiswa lebih menggunakan pertimbangan akal berbanding pertimbangan emosi yang diamalkan oleh sesetengah ahli politik. Di kampus sekalipun, mahasiswa boleh aktif dalam politik yang menentukan kepimpinan terbaik mahasiswa dan di sinilah pertimbangan akal perlu dilatih dan diguna pakai berbanding semangat kekitaan yang merugikan diri sendiri. Apabila pertimbangan akal seperti ini sudah sebati dengan mahasiswa semasa fasa transformasi ini, maka apabila mahasiswa menyertai masyarakat pertimbangan sama juga dapat dilakukan semasa memilih kerajaan.
Tumbangnya pokok bukan kerana mata kapak itu besi, tetapi kerana hulu kapak itu kayu. Frasa ini merujuk kepada perpaduan itu terlerai kerana tindakan orang-orangnya sendiri jua. Maka sebebas mana pun mahasiswa ingin berpolitik, perpaduan mestilah di jaga. Mahasiswa bertanding dalam kepimpinan mahasiswa dengan mahasiswa dari institusi yang sama dan bukannya dari universiti yang berlainan, jadi mengapa perlu boikot, bertengkar dan tidak bertegur sapa. Samalah juga dengan pembentukkan negara, pilihan raya dijalankan untuk memilih kepimpinan negara dari warganegaranya sendiri bukannya dari negara orang lain. Merdeka telah berlalu, tidak ada alasan lagi untuk tidak bersatu.
[Teks disediakan oleh Abdul Muin, Speaker PMUKM 2009/2010]
No comments:
Post a Comment