Friday, June 24, 2011

Universiti Kebanggaan Malaysia : UKM

PERHATIAN ;[Segala maklumat yang tertera dalam post ini adalah melalui pengalaman peribadi]

1. UKM mempunyai 3 kampus, UKM kampus utama di Bangi, UKM kampus KL di Jalan Raja Muda, dan UKM kampus Cheras.

2. Setiap kampus UKM terletak berhampiran dengan tasik. UKM Bangi - taman tasik cempaka. UKM KL - taman tasik titiwangsa, UKM Cheras - taman tasik permaisuri. kebetulan?

3. terdapat 10 kolej kediaman [ketika post ini ditulis]:
[Kolej Keris Mas],[Kolej Antarabangsa Ibu Zain],[Kolej Rahim Kajai],[Kolej Dato' Onn],[Kolej Tun Hussein Onn],[Kolej Aminuddin Baki],[Kolej Ungku Omar],[Kolej Ibrahim Yaakub],[Kolej Burhanuddin Helmi],[Kolej Pendeta Za'ba],[Kolej Tun Syed Naser Kampus KL],[Kolej Tun Dr Ismail Kampus Cheras].

4. Fakulti Farmasi, Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Perubatan tahun 1&2 ditempatkan di Kampus KL manakala Fakulti Perubatan tahun 3,4&5 di Kampus Cheras dan fakulti2 selebihnya di Kampus Utama Bangi [ketika post ini ditulis]

5. UKM merupakan satu-satunya universiti awam tempatan yang mendaulatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.

6. Perang Dectar merupakan salah satu aktiviti sihat tapi tak berapa nak sihat antara kolej2 kediaman UKM semasa sesi di dalam DECTAR sempena minggu orientasi. ia merupakan perlawanan cheers antara kolej dalam usaha untuk menunjukkan siapa lebih hebat ber'cheers' dengan pantaun pc[pemudahcara] kolej masing2. acara kemuncak adalah selepas malam kebudayaan, iaitu malam terakhir orientasi, mereka akan berlawan cheers dan enggan keluar dari DECTAR walaupun lampu dan pendingin hawa ditutup, kolej terakhir yang keluar di kira sebagai juara. bagi pendapat aku, bagus juga la perang dectar ni, sekurang2nya dapat tingkatkan semangat kolej, tapi perlu ada batasan.

7. UKM mempunyai 2 kumpulan aktivis mahasiswa yang bertanding dalam pilihanraya kampus bagi memilih ahli2 majlis perwakilan pelajar. Kumpulan yang pertama adalah Aspirasi dan yang kedua adalah Gabungan Mahasiswa, GM. Namun terdapat juga kumpulan2 kecil yang wujud tetapi Aspirasi dan GM merupakan pesaing yang sangat signifikan. Aku akan bercerita dengan lebih lanjut mengenai dua gergasi ini pada post yang akan datang. [Nota: Penulis adalah penyokong kuat Aspirasi]

8. Setiap universiti awam memperuntukkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. di UKM, HEPA terbahagi kepada Pusat Perkembangan Pelajar [PPP] dan Jabatan Perkhidmatan Pelajar [JPPel]. Sehingga saat post ini ditulis, aku pun masih keliru dengan fungsi kedua2 komponen UKM ni, secara ringkasnya PPP menguruskan aktiviti2 pelajar manakala JPPel menguruskan kebajikan pelajar.

Tuesday, June 21, 2011

Subsidi : Hak Rakyat Atau Ihsan Kerajaan

Subsidi:






wang bantuan yg diberikan oleh kerajaan kpd sesuatu perbadanan dll. bersubsidi mendapat subsidi; dijalankan atau diurus dgn subsidi: projek ~. mensubsidi
1 memberikan subsidi supaya harga sesuatu lebih rendah: Kerajaan ~ harga minyak.
2 membantu dgn memberikan subsidi: Pihak Kementerian ~ projek pertanian itu. pensubsidi orang atau pihak yg memberikan subsidi.
Sumber : Kamus Pelajar Edisi Ke 2

Malaysia antara negara yang mendahului negara-negara yang membangun dari segi sumbangan subsidi kepada rakyatnya. Dengan pemberian subsidi ini, sesetengah harga barangan bersubsidi dapat dikawal dan mampu dibeli oleh rata-rata pengguna. Jumlah subsidi oleh kerajaan Malaysia mengjangkau angka sehingga berbilion ringgit setahun. Dalam arus pembangunan, kos pentadbiran, gaji kakitangan awam, biasiswa yang menuntut nilai yang lebih tinggi, kerajaan akan bertindak mengurangkan beban kerajaan bagi menampung kenaikkan kos-kos tersebut. Beban yang pertama yang terlintas dalam fikiran 'orang-orang' kerajaan untuk dimansuhkan semestinya Subsidi.

Antara Subsidi kerajaan :

1. Bahan Bakar [RON97/95,Diesel, LPG]
2. Makanan [Gula, Tepung Gandum, Minyak Masak]
3. Perkhidmatan [Kesihatan, Pendidikan, Tenaga]
4. Keperluan [Baja, Anak Benih, Peralatan]

Malaysia memang tak dapat mengelak dari menghadapi krisis kenaikkan harga barang yang melanda hampir setiap negara di dunia ini. Satu contoh mudah; harga barang A ialah rm2.00, subsidi kerajaan ialah rm0.80, maka harga pasaran menjadi rm1.20, jika harga barang A meningkat kepada rm2.50 dengan pengekalan jumlah subsidi, maka harga barang A akan meningkat kepada rm1.70. Kenaikkan di sini adalah sebanyak rm0.50, nilai inilah yang akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat TANPA rakyat sedar bahawa bukan kerajaan yang menaikkan harga barang tersebut; kerajaan mengekalkan subsidi tetapi harga barang A yang naik. Fikirkan, adakah masih lagi salah kerajaan, itu baru satu kes. Kes yang lain pula melibatkan pengurangan subsidi itu sendiri yang menaikkan harga barang itu sendiri. Kes seperti ini biasanya apabila subsidi tersebut dikira sudah tidak relevan nilainya kerana kemampuan sesuatu industri atau kepenggunaan untuk terus bergerak pada harga asal tanpa subsidi.

Secara total, lejar kerajaan boleh dibahagikan secara asas kepada 'Pendapatan' dan 'Perbelanjaan'. Apabila nilai 'Perbelanjaan' negara menghampiri 'Pendapatan', pelbagai usaha akan dilakukan untuk menjarakkan jurang antara dua lejar ini, antaranya [Pembekuan projek pembangunan, pengehadan kelayakan pinjaman buku teks, penswastaan sektor-sektor kerjaan, mengurangkan/memansuhkan subsidi, pembekuan pengambilan kakitangan awam, ketiadaan bonus tahunan, belanjawan ekonomik, sendiri boleh fikir], bagi orang yang berkepentingan terhadap perubahan yang dilakukan kerajaan itu, yakni bila mana perubahan itu tidak lagi memberi keselesaan bagi mereka, aura tidak berpuas hati akan memuncak......

Sesetengah orang berpendapat, kerajaan tak perlu mengambil tindakan memotong bantuan secara drastik tetapi lebih kepada [potong elaun menteri, memastikan tender2 kerajaan pada harga pasaran dan bukannya kerana faktor 'Local Order' , penelitian projek2 yang dikira masih pada tahap tak perlu dijalankan dengan segera]. Seperti biasa, apabila dua pihak berkepentingan merebut sesuatu berharga [Kerajaan hendak kurangkan perbelanjaan negara, rakyat mahu lebih banyak kesenangan] , politik akan menjadi medan penentuan.

Kerajaan BN sedang berhadapan dengan krisis kenaikkan harga barang yang semakin meruncing dan pada hemat aku adalah sangat tak kena masa dengan bayangan PRU-13 pada tahun depan. Pakatan Rakyat menunding jari dan mengatakan ia disebabkan oleh salah laku pengurusan dana kerajaan yang melibatkan kes2 rasuah, penggelapan wang kerajaan, tuntutan palsu, pembaziran perbelanjaan untuk projek tidak bermanfaat tinggi. Mantan Timb. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengatakan, amat mustahil bagi sebuah kerajaan yang mengaut hasil minyak pada harga yang tinggi tidak mampu mengimbangi penggunaan minyak negara melalui subsidi. Kata Dato' Shabery Cheek, tak kan hasil minyak negara hendak tampung subsidi minyak semata-mata, jalan hendak dibina, sekolah, jambatan, gaji pekerja, peruntukkan sukan, kalau nak guna semua, mana lagi nak cari dana untuk pembangunan? Petroleum sememangnya pendapatan utama negara. Bagi pendapat kawan aku pula : macam mana kita boleh pastikan subsidi yang ditarikbalik/dikurangkan itu difokuskan untuk pembangunan dan bukannya memenuhkan dompet kroni-kroni yang melobi projek. Seorang pegawai UKM pula berkata : Subsidi sepatutnya menjadi pendorong kepada para pengguna sehingga mereka mampu beroperasi pada harga asal barangan yang disubsidi,

Jadi, tarik salah, tak tarik pun salah, apa pun tak boleh, pada pendapat aku, ada sesetengah subsidi kerajaan patut tarik balik secara beransur-ansur dan ada yang perlu dipertingkatkan lagi nilai subsidinya. Rakyat juga perlu sedar, kenaikkan harga barang bukanlah kehendak kerajaan terutamanya dalam skop ingin mengambil hati pengundi. kalau taukeh tauhu nak jual tauhu rm10.00 sekilo pun, kerajaan hanya boleh mengawal harga tauhu pada harga siling dengan memasukkanya ke dalam senarai barangan harga kawalan, dalam kes ini, taukeh tauhu tu yang mahu naikkan harga, kerajaan akan pening kepala dan rakyat yang sengsara. Buatlah keputusan anda, adakah subsidi itu hak rakyat ataupun pemberian oleh pihak kerajaan?

Tuesday, June 14, 2011

Mahasiswa dan Kebebasan Berpolitik

[Teks Ucapan Presiden Persatuan Mahasiswa UKM semasa Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, MPPK di Esset, Bangi, 2010]

Apakah itu universiti? Universiti merupakan ‘Batu Asas Ketamadunan’ di mana segala ilmu pengetahuan tersimpan, dipelajari, diperbahaskan, diperbaikkan dan diamalkan. Mengapa universiti dikatakan ‘Batu Asas Ketamadunan’? Banyak perbahasan telah dilakukan mengenai universiti iaitu tentang fungsi sebenar universiti, peranan yang sepatutnya dimainkan oleh universiti, produk yang dihasilkan oleh universiti dan sumbangan universiti itu sendiri namun mengapa ‘Batu’ nilainya diberikan, tidak lain tidak bukan adalah kerana elemen terpenting universiti itu sendiri iaitu mahasiswa. Di universiti, mahasiswa disediakan pelbagai ilmu dan peluang untuk mereka bersedia membentuk tamadun manusia apabila keluar bergelar graduan nanti. Dalam pembinaan bangunan yang mencakar langit, perkara yang paling diambil kira ialah cerucuk yang ditanam jauh dalam tanah untuk memberikan kestabilan yang utuh kepada bangunan yang dibina dari sebarang faktor yang boleh menjatuhkan bangunan tersebut. Cerucuk ini merupakan batu asas bangunan tersebut. Dalam konteks ketamadunan manusia, mahasiswa adalah batu asas tersebut dan ketamadunan merupakan bangunan. Saya secara peribadi mendefinisikan mahasiswa itu sendiri sebagai satu fasa transformasi dari seorang remaja ke dalam masyarakat. Masyarakat merupakan komuniti terbesar yang membentuk halatuju negara samada akan terus dijulang di mata dunia atau mundur dan jatuh.

Sepanjang fasa transformasi selaku mahasiswa, keadaan yang sihat perlu diwujudkan bagi memastikan kelancaran proses tersebut. Hal ini dijelaskan lagi dengan isu mahasiswa berpolitik. Tidak dinafikan wujud suasana berpolitik di kampus untuk membentuk kepimpinan mahasiswa yang terbaik untuk berkerjasama dengan universiti sederap bersama menghadapi arus pembangunan. Apabila mahasiswa berpolitik, di manakah garis sempadannya? Ramai akan bertanya, kenapa perlu adanya garis panduan? Kenapa tidak bebas? Suara disekat dan sebagainya. Perlu kita ingat bahawa peringkat mahasiswa merupakan fasa transformasi. Mahasiswa seterusnya akan membentuk masyarakat di luar sana dan membentuk pentadbiran masyarakat yang dipanggil KERAJAAN di mana cara, pengurusan, isu-su yang dimainkan sangat jauh berbeza dengan pentadbiran dibentuk di peringkat mahasiswa. Bukannya hendak memperkecilkan suara dan peranan mahasiswa tetapi itu lah kenyataan. Kesilapan yang dilakukan di peringkat mahasiswa tidak lah seberapa berbanding kesilapan yang dilakukan di peringkat Kerajaan yang dipilih di mana hala tuju negara menjadi taruhan.

Jadi, apa kaitannya? Di sini amatlah penting untuk kita membuat garisan pemisah antara politik pemilihan kepimpinan mahasiswa dengan politik luar kampus dalam pemilihan kerajaan. Mengapa? Kerana politik kepimpinan mahasiswa adalah berbentuk PERWAKILAN manakala politik kepimpinan negara yang di luar dari kampus adalah berbentuk PENTADBIRAN NEGARA, PENENTU DASAR NEGARA dan PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG. Apabila garis pemisah tidak dilakukan, politik di peringkat mahasiswa akan dipengaruhi oleh ideologi-ideologi politik luar untuk membina pengaruh di peringkat batu asas iaitu mahasiswa. Unsur-unsur tersebut yang meresapi pemikiran mahasiswa akan mempengaruhi mereka apabila fasa transformasi tamat dan mereka pula akan masuk ke dalam masyarakat dan membentuk kerajaan. Kerajaan yang di pilih oleh mereka bukan lagi kerajaan yang dipilih berdasarkan bentuk terbaik untuk mentadbir negara sebaliknya merupakan kerajaan yang dipilih hasil pertunasan ideologi-ideologi yang ditanam di peringkat mahasiswa.

Oleh itu, dalam memastikan politik mahasiswa tidak dipengaruhi oleh politk luar, maka di situ lah garis sempadan diperlukan. Kebebasan berpolitik yang dituntut oleh mahasiswa untuk menyertai politik luar dilihat sebagai tindakan menetas sebelum masanya. Masa yang ada sebagai mahasiswa sepatutnya digunakan untuk mengkaji dan menilai politik luar dan penilaian tidak semestinya hanya dapat dilakukan dengan menyertai politik luar secara langsung. Tujuan pemisahan dilakukan antara mahasiswa dengan politik luar adalah untuk menyediakan suasana bebas dan sihat sepanjang fasa transformasi sebagai seorang mahasiswa. Pemisahan juga dilakukan untuk mahasiswa lebih menggunakan pertimbangan akal berbanding pertimbangan emosi yang diamalkan oleh sesetengah ahli politik. Di kampus sekalipun, mahasiswa boleh aktif dalam politik yang menentukan kepimpinan terbaik mahasiswa dan di sinilah pertimbangan akal perlu dilatih dan diguna pakai berbanding semangat kekitaan yang merugikan diri sendiri. Apabila pertimbangan akal seperti ini sudah sebati dengan mahasiswa semasa fasa transformasi ini, maka apabila mahasiswa menyertai masyarakat pertimbangan sama juga dapat dilakukan semasa memilih kerajaan.

Tumbangnya pokok bukan kerana mata kapak itu besi, tetapi kerana hulu kapak itu kayu. Frasa ini merujuk kepada perpaduan itu terlerai kerana tindakan orang-orangnya sendiri jua. Maka sebebas mana pun mahasiswa ingin berpolitik, perpaduan mestilah di jaga. Mahasiswa bertanding dalam kepimpinan mahasiswa dengan mahasiswa dari institusi yang sama dan bukannya dari universiti yang berlainan, jadi mengapa perlu boikot, bertengkar dan tidak bertegur sapa. Samalah juga dengan pembentukkan negara, pilihan raya dijalankan untuk memilih kepimpinan negara dari warganegaranya sendiri bukannya dari negara orang lain. Merdeka telah berlalu, tidak ada alasan lagi untuk tidak bersatu.

[Teks disediakan oleh Abdul Muin, Speaker PMUKM 2009/2010]